Adikku,
Hari ini 21 Februari 2005 dan genaplah umurmu 32 tahun. Alangkah gembiranya aku jika kau masih boleh diajak berbual, tentu banyak perkara yang boleh kita borakkan. Hakikatnya masa sudah berlalu begitu pantas dan kau sudah tiada hampir 12 tahun.

Adikku,
Aku kini telah berkahwin dan mempunyai seorang anak lelaki. Kau nak tahu aku berkahwin semasa umurku 32 tahun. Kau sendiri pernah memberitahu bahawa kau bercadang untuk berkahwin hanya selepas umur kau melepasi 30 tahun. Hakikatnya umur kau tidak pernah mencecah angka itu.

Adikku,
Baru semalam aku mendengar salah satu lagu yang kau hafal untuk membaiki Bahasa Inggeris mu. Aku tahu kau tidak pernah berhenti untuk mengikuti nasihatku. Satu perkataan satu hari, hafal lagu dengan sebutan yang betul dan baca dan baca seberapa banyak penulisan dalam bahasa Inggeris. Aku menanti untuk membaca cerpen Bahasa Inggeris yang kau janjikan tu kerana bila aku tanya kau jawab ada dalam kepala dan akan ditulis. Hakikatnya cerpen itu pergi bersama perginya jasad kau.

Adikku,
Aku tidak akan lupa betapa kau tidak jemu-jemu bertanya dan terus bertanya kepada ku tentang apa saja baik berkenaan pelajaran malah berkaitan dengan kehidupan. Aku pula kekadang tiada masa untuk kau kerana sibuk dengan urusan diriku sendiri. Malah kau pernah merajuk kerana aku tidak dapat menolong kau mengulangkaji pelajaran. Hakikatnya kini walaupun aku ada masa untuk bersama-sama mengulangkaji dan aku mempunyai jawapan kepada semua soalan kau, kau sudah tidak memerlukannya lagi.

Adikku,
Ada satu hari tu kau balik daripada satu kem motivasi dan pada hari itulah kau salam dan mencium tanganku sambil memohon maaf. Kemudian kau peluk aku sambil kau kata kau rindu aku. Lepas itu kau cium dahi dan pipiku sambil mengucapkan terima kasih. Airmataku mengalir masa itu dan selepas hari itu kau sering buat begitu bila balik ke rumah dari asrama atau markas tentera. Hakikatnya kini hanya airmata yang mengalir tanpa genggaman erat tangan, pelukan mesra atau ciuman sayang dari kau.

Adikku,
Aku amat menyayangimu. Aku rindu untuk menjawab soalan-soalanmu dan bersama-sama duduk mengulangkaji pelajaran. Aku tidak puas bercakap dan berbual denganmu. Aku teringin untuk menatap wajahmu lagi. Hakikatnya pada 11 Julai 1993 kau telah meninggalkan aku dan dunia ini. Yang tinggal hanya kenangan dan doa untukmu……