Pada 6 Ogos yang lalu tercatatlah satu rentetan dalam sejarah Akademi Fantasia bila Asmawi Ani atau Mawi telah ditabalkan sebagai Juara Akademi Fantasia musim 3. Undian yang diraih oleh beliau merupakan peratusan tertinggi pernah dicatatkan semenjak musim 1 lagi iaitu 58%.

Malah Mawi mengesahkan betapa hebatnya fenomena yang dibawa oleh anak muda dari Kulai dengan menyapu bersih kesemua anugerah pada malam itu. Beliau turut dipilih pengundi untuk memenangi anugerah Vokal Terbaik (38%) dan Persembahan Terbaik (46%).

Kini terpulanglah kepada Mawi dan Maestro untuk mengorak langkah yang berikutnya. Didoakan Mawi akan dapat membawa diri dalam menempuh dunia artis dan glamour ini. Sementara itu diharap Maestro akan mengatur masa depan Mawi dengan baik tanpa memikirkan keuntungan semata-mata.

Kepada semua bekas pelajar dan finalis Akademi Fantasia 3, tahniah diucapkan di atas kejayaan masing-masing. Ingatlah ini merupakan langkah pertama anda ke alam yang penuh cabaran dan godaan.

Bagi peminat-peminat dan pengundi-pengundi AF3 teruskan sokongan anda kepada bintang-bintang AF3 ini. Belilah album mereka bila dikeluarkan nanti.