Image hosted by TinyPic.com
Besarnya pengorbanan dan kasih ibu tidak dapat dibalas sepenuhnya oleh anak-anak. Kita semua mempunyai ibu dan tiada sesiapa dapat melihat dunia tanpa seorang ibu.

Kasih seorang ibu terlalu tinggi nilainya dan sukar untuk digambarkan. Dari mula mengandungkan kita selama sembilan bulan. Diikuti dengan ketika yang amat menyakitkan semasa melahirkan kita. Tidak cukup tidur dan penat ketika menjaga kita semasa bayi. Lelah dan pening melayan telatah kita semasa kanak-kanak. Risau dan sabar mengharungi kedegilan dan perangai kita semasa remaja.

Aku seperti anak-anak yang lain amat menyayangi dan menghargai kasih sayang ibuku. Tetapi itu semua tidak dapat dibandingkan perasaanku melihat susah payah isteriku semasa mengandungkan anak sulongku dulu. Keadaan ini ditambah lagi apabila aku menyaksikan sendiri bagaimana peritnya kesakitan yang dialami oleh isteriku semasa melahirkan anakku itu.

Aku mengambarkan beginilah yang dialami oleh ibuku sendiri selama sembilan bulan mengandungkanku dan sakitnya bagai bertarung nyawa semasa melahirkanku dulu. Hatiku menjadi sayu dan kasihku kepada ibu lebih bermakna setelah melalui pengalaman ini.

Ibu tidak pernah meminta jasanya dibalas tetapi menjadi tanggungjawab anaklah untuk memuliakan ibu. Aku masih beruntung kerana ibuku masih ada. Dapatlah aku bersalam dan mengucup tangannya. Dapatlah juga aku memeluk dan mencium pipinya. Terima kasih ibu kaulah ratu hatiku.