Kira-kira sebulan yang lalu aku ada menulis tentang bohong. Tidak pula aku sangka baru-baru ini ianya terjadi kepadaku. Seorang yang rapat denganku telah tidak berkata benar. Apa yang lebih mendukacitakan ialah pada mulanya dia tidak mahu mengaku kesalahannya itu.

Begitulah lumrahnya, orang akan berbohong di atas berbagai alasan. Kebanyakannya berbohong untuk menjaga kepentingan peribadi. Tidak kurang juga kerana hendak menjaga hati orang lain. Malah ada yang berbohong kerana memang sudah jadi tabiatnya suka berbohong.

Sebenarnnya memang susah untuk mendapatkan seseorang yang dengan tulus ikhlas sentiasa berterus terang dengan kita. Masalahnya kekadang kita sendiri tidak mahu mendengar kebenaran sesuatu perkara itu. Kita mahu orang lain bercakap apa yang kita hendak dengar sahaja. Ini menyebabkan mereka yang berterus terang adakalanya tidak disukai oleh orang lain.

Bagi aku jika seseorang itu rapat denganku lebih-lebih lagi jika dia orang yang aku sayangi, pasti aku akan berterus terang dengannya. Aku juga berharap sebaliknya. Aku yakin walaupun kebenaran itu kadang kala menyakitkan tetapi ia akan merapatkan lagi sesuatu hubungan jika kita ikhlas.