Penantian itu satu penyiksaan. Di dalam menempuh kehidupan seharian sudah pasti ada ketikanya kita terpaksa menunggu sesuatu. Sekurang-kurangnya menunggu bas, menunggu lampu isyarat bertukar hijau, menunggu balasan sms, menunggu jawapan, menunggu keputusan dan sebagainya.

Pada hari Sabtu lepas aku telah dihambat kegelisahan dengan terpaksa menunggu selama sehari semasa menghantar keretaku untuk dibaiki. Apa yang menyebabkannya lebih berat lagi ialah kerana aku telah berjanji untuk berjumpa dengan seseorang pada hari tersebut. Pastinya dia juga terpaksa menunggu. Aku menanti siapnya kereta dibaiki dan dia termanggu mengharapkan kehadiranku.

Aku telah sampai ke workshop tersebut seawal 8.30 pagi dan menyatakan masalah keretaku. Aku diberitahu keretaku boleh siap menjelang tengahari. Kita hanya boleh merancang tetapi hanya Allah yang akan menentukannya. Rupa-rupanya keretaku mempunyai beberapa masalah lain yang perlu dibaiki. Dari satu masalah ke satu masalah dan akhirnya keretaku siap sedikit selepas pukul 6 petang.

Sementara menunggu aku telah sentiasa bersms dengan dia untuk memberitahu status keretaku yang sedang dibaiki. Aku rasa bersalah sekali kerana dia terpaksa menunggu kehadiranku. Aku sendiri merasa sungguh bosan dan tidak senang duduk menanti siapnya keretaku. Akhirnya apabila keretaku siap dapatlah aku berjumpa dengan dia. Aku dapat lihat terpancar diwajahnya rasa hampa tetapi gembira. Hampa kerana aku lambat dan gembira kerana masih dapat berjumpa denganku.

Sebenarnya aku telah berjanji untuk datang melawat anak buahku yang sedang belajar di sebuah sekolah berasrama penuh. Semenjak awal tahun lagi sememangnya setiap hari Sabtu aku akan melapangkan masa untuk melawat dia sambil membawa sedikit makanan dan sebarang keperluan lain yang dipinta. Dia tidak meminta aku datang tetapi aku sendiri yang ingin bertemu dia. Lagipun selepas ini mungkin dia susah untuk menerima kedatanganku apabila mula sibuk dengan kegiatan ko-kurikulum. Oleh itu sementara ada peluang ni aku aku akan pastikan dapat datang melawat dia setiap minggu.

Aku memang rapat dengan dia jadi aku memang gembira dan seronok dapat berjumpa dan berbual dengan dia. Aku juga amat menyayangi dia malah aku harap akan dapat menjadi salah seorang kawan rapatnya. Kenapa, mengapa dan bagaimana aku boleh rapat dan sayangkan insan ini, jika diizinkan akan aku ceritakan di masa akan datang.