Aku pernah menulis dalam blog ini bahawa apa yang membentuk diri kita banyak dipengaruhi oleh pengalaman kita semasa remaja.

Apabila melepasi zaman remaja, apa yang kita lalui sepanjang hidup juga memainkan peranan penting mencorakkan kehidupan dan keputusan yang kita buat. Bagi diriku banyak peristiwa yang telah aku lalui dan ingin aku kongsi sebahagiannya di sini.

Aku sebenarnya silap kerana menyayangi R dengan sepenuh hati sedangkan ketika itu kami tidak ada sebarang ikatan. Benarlah bahawa walaubagaimana sayang pun kita pada seseorang kita tidak harus memberi keseluruhan hati kita kepadanya. Ini kerana apabila berlaku sesuatu yang tidak disangka yang parah adalah diri kita sendiri.

Semasa aku di tadika dahulu aku mempunyai seekor kucing kesayangan yang begitu manja denganku. Setiap pagi ia akan menghantarku ke depan rumah semasa aku ke tadika dan ia akan menungguku di depan rumah semasa aku balik waktu tengahari. Malangnya satu hari ia telah mati dilanggar kereta. Menurut ibuku aku telah jatuh demam kerana rindukan kucingku itu. Begitulah betapa sayangku padanya. Ketika itu aku memang tidak mengerti apa-apa tetapi memang semenjak kecil kalau aku sayangkan sesuatu atau seseorang, aku akan sungguh menyayanginya.

Aku mempunyai seorang makcik yang amat rapat denganku. Aku menyayanginya sehingga aku memanggilnya mak bukan makcik. Dia telah menjagaku semasa aku kecil dan semasa sekolah rendah setiap kali cuti aku akan tinggal dan menghabiskan masa cuti di rumahnya. Ditakdirkan beliau telah demam dan seminggu selepas itu meninggal dunia pada usia yang agak muda. Aku disentap dengan kehilangan orang yang aku sayangi.

Aku mempunyai seorang adik yang sangat rapat denganku semenjak kecil. Aku sanggup tidak keluar ke mana-mana semata-mata untuk menjaga adikku ini semasa kecilnya. Kalau ada pergaduhan antara kami adik beradik, aku pasti akan menyebelahi dia. Semasa adikku meningkat remaja kami terus rapat. Kalau ke mana-mana aku pasti dengan dia dan kami sentiasa berkongsi cerita dan rahsia. Walaupun aku sangat sayang pada adikku ini, Allah lebih menyayanginya. Dia telah meninggal dunia dalam satu kemalangan semasa berumur 20 tahun. Sesungguhnya ini satu ujian yang amat berat terpaksa aku hadapi.

Semua peristiwa ini telah memberi kesan terhadap perwatakan dan jiwaku. Aku menjadi seorang insan yang amat pendiam dan suka menyendiri. Aku menjadi takut untuk menyayangi orang baru dalam hidupku. Walaupun begitu aku mula berubah apabila aku ditemukan dengan seorang insan yang kini menjadi isteriku. Insya Allah akanku ceritakan mengenainya di lain masa.