Pernahkah anda kehilangan orang yang disayangi? Aku pernah mempunyai rakan satu sekolah yang bertukar menjadi kekasih tetapi hubungan kami putus di tengah jalan.

Aku berkawan dengan R semenjak dari darjah satu lagi. Aku mula rapat dengan R apabila kami aktif dalam bidang seni bermula dari darjah 5. Kami sering dipasangkan samada dalam tarian, nyanyian atau persembahan lain. Apabila melangkah ke sekolah menengah, kami tidak belajar di satu sekolah tetapi di sekolah yang berlainan yang dipisahkan oleh sebatang jalan. Aku di sekolah yang pelajarnya semua lelaki manakala R di sekolah yang pelajarnya semua perempuan. Walaupun begitu kami sering berhubung samada melalui telefon atau berjumpa selepas sekolah. Selepas SRP (sekarang PMR) R telah berpindah ke sekolah teknik dan aku tetap di sekolah yang sama. Selepas SPM R berjaya melanjutkan pelajaran ke US dan aku memasuki IPTA tempatan.

Perasaan sayang antara kami sebenarnya mula berputik semasa kami di tingkatan 3. Mungkin ianya bermula sebagai cinta monyet sahaja tetapi terus berkembang ke cinta sejati. Keluarga kami telah mengenali antara satu sama lain malah ibuku telah mengenali bapa R semasa zaman muda mereka. Mereka pernah bersama semasa di dalam satu kumpulan muzik dulu. Beberapa kali mereka bergurau bersama mereka bila mereka akan berbesan.

Kita akan merasa bahagia sekali jika kita mempunyai orang disayangi dan kita tahu diri kita juga disayangi. Hubungan aku dengan R berjalan lancar walaupun kami berjauhan. Semenjak daripada darjah 5 lagi aku setiap tahun aku datang berhari raya ke rumah R, begitu juga dengan R. Aku kadang-kadang datang bersama keluargaku dan selalunya bersama-sama kawan-kawan, begitu juga dengan R. Semasa R di US, kami sering berutus surat masa tu email belum meluas penggunaannya. Sesekali R akan menelefonku dari sana. Kami juga sering bertukar-tukar rakaman kaset yang mengandungi rakaman suara dan lagu-lagu.

Aku bangga menjadi seorang kekasih yang setia tetapi tidak cukup untuk menjanjikan satu penghujung yang membahagiakan. Aku berpeluang untuk mengenali hati yang lain, malah ada ramai yang berminat dan berusaha untuk mengenali diriku dengan lebih dekat tetapi aku tutup pintu hatiku untuk mereka. Bagiku hatiku hanyalah untuk R sahaja dan aku sabar menunggu kepulangannya.

Memang benar, jarak dan masa boleh mengubah segalanya. Begitulah yang terjadi semakin hari semakin kurang surat, kaset dan panggilan telefon dari R. Aku memujuk diriku dengan mengatakan R sibuk dengan tugasan pembelajarannya. Akhirnya sesuatu yang tidak aku sangka berlaku apabila aku menerima sebuah kaset yang menerangkan segala-galanya. Di dalam kaset itu R telah menyatakan bahawa dia telah jatuh cinta dengan seorang senior di sana. R meminta maaf kepadaku dan menyuruhku menganggap kami tak ada jodoh. R mengatakan sayang juga cinta antara kami hanyalah cinta monyet masa sekolah yang tidak pernah berkembang menjadi cinta sejati. R kata dia masih terus mahu berkawan dengan aku kerana kami telah terlalu lama berkawan.

Bagaikan petir menyambar hati ini apabila aku mendengar kata-kata R. Segala usaha dan pengorbanan aku selama ini untuk R sia-sia sahaja. Malah kesetiaanku juga seolah-olah dipermainkan. Walau bagaimanapun aku terpaksa menerima hakikat dan meneruskan kehidupanku. Peristiwa ini juga telah sedikit sebanyak mengubah diriku. Tapi itu akan aku cerita dilain masa.