Tinggal beberapa hari lagi kita umat Islam akan merayakan Aidil Fitri. Memang begitu pantas masa berlalu Ramadan sudah hampir meninggalkan kita. Ada yang gembira dan ada juga yang sedih. Masing-masing mempunyai pengalaman dan cerita tersendiri.

Bagi diriku setiap kali Ramadhan dan kemudian Syawal pasti membawa berbagai pengalaman baru. Hari Raya ini biasanya lebih meriah dengan adanya anak-anak. Mereka inilah yang menceriakan suasana Hari Raya. Di samping berkumpul sanak saudara dan berjumpa rakan taulan.

Alangkah bertuahnya jika kita mempunyai anak, keluarga, ibubapa, saudara dan kawan untuk berkongsi kegembiraan Syawal nanti. Aku masih mempunyai ibubapa dan aku tidak pernah melepaskan peluang memeluk dan mencium mereka setiap 1 Syawal. Pengorbanan mereka kepada kita tidak ternilai harganya dan kesanggupan mereka sama-sama menghadapi kesukaran yang aku alami sungguh membuat aku terharu.

Perumpamaan yang mengatakan kawan ketawa senang dicari tapi kawan menangis susah didapati memang benar. Kita apabila mempunyai kedudukan dan kesenangan pasti ada ramai orang yang berusaha untuk merapati diri mereka dengan kita. Ketika berlaku sebaliknya mereka ini akan cuba menjauhkan dan mengelakkan diri daripada kita. Cuma ada beberapa orang sahaja yang akan terus bersama kita tidak kira macam mana keadaan diri kita.

Semoga mereka yang benar-benar bernama sahabat ini kehidupan mereka akan diberkati Allah s.w.t. dan yang lain ingatlah hidup ini ibarat roda sekejap di atas dan sekejap di bawah. Jangan ingat kawan yang dalam kesusahan itu semuanya mengharapkan sesuatu daripada kita. Mereka ini kekadang hanya memerlukan sokongan moral untuk terus menghadapi kenyataan hidup.

Kira-kira sepuluh tahun dahulu aku kehilangan seorang adik yang terbunuh dalam satu kemalangan, empat tahun lalu aku kehilangan ramai kawan dan setahun lalu bapa mertuaku meninggal kerana sakit. Aku sungguh menghargai keluarga, sanak saudara dan sahabat yang masih aku ada sekarang.

Kepada semua aku ingin mengucapkan Selamat Hari Raya dan perhatikan mereka yang di sekeliling terutama ibubapa kita. Sempena 1 Syawal ni tunjukkanlah rasa kasih kita kepada mereka, tahun depan belum tentu lagi.