Sudah dua hari aku tidak membaca suratkhabar dan menonton berita di tv maupun mendengarnya di radio. Terasa macam ada suatu kekurangan apabila tidak tahu apa yang terjadi di luar sana.

Rasanya apa berita yang hangat di dalam dan di luar negara ketika ini? Isu-isu semasa yang bagaimanakah sedang rancak dibincangkan baik di kedai-kedai kopi atau Dewan Rakyat?

Bagi aku suratkhabar, tv, radio dan internet adalah sumber berita yang terbaik di samping cerita yang disampaikan dari mulut ke mulut. Bagaimanapun kita harus ingat supaya tidak mempercayai segala apa yang kita baca dan dengar melainkan jika kita melihat dan mengalaminya sendiri.

Aku bercakap berdasarkan pengalaman yang pernah aku lalui sendiri satu masa dahulu. Satu kejadian sedih telah menimpa keluarga aku lebih 10 tahun yang sudah. Kesemuanya akhbar melaporkan tentang kejadian itu setiap hari selama hampir satu minggu. Aku tidak ketinggalan membeli beberapa akhbar untuk bacaan kami sekeluarga.

Apa yang aku dapati semasa membaca kesemua akhbar itu ialah ada beberapa faktanya yang kurang tepat atau langsung tersasar. Walau bagaimanapun aku tidak pernah menyalahkan pemberita atau akhbar berkenaan kerana aku faham. Mereka ingin mendapat seberapa banyak fakta daripada seberapa banyak sumber yang ada. Oleh itu tidak mustahil ada fakta dan sumber yang tidak begitu sahih.

Selepas daripada kejadian itu, aku lebih berhati-hati apabila menerima sebarang berita atau cerita. Aku tidak menerimanya bulat-bulat. Kekadang jika ada kesempatan aku buat sedikit kajian dan pembandingan fakta. Biasanya memang ada pencanggahan fakta. Kini aku menganggap itu perkara biasa kerana segala berita yang ingin disampaikan itu tidak semesti 100% betul. Malah ada setengah berita itu diolah sebegitu rupa untuk mencapai sesuatu matlamat.

Bagi aku membaca, mendengar atau menonton berita adalah sesuatu yang penting dalam hidup. Sekarang ini bukannya susah hendak mendapatkan berita. Berbagai cara ada suratkhabar, majalah, radio, tv, internet malah handphone juga. Kita tidak seharus terkongkong dengan dunia kita sendiri tanpa mengetahui apa yang berlaku di sekeliling kita. Sebagai seorang pelajar perkara ini penting juga.

Semasa aku belajar dahulu memang ada segolongan pelajar yang terlalu menumpukan perhatian kepada apa yang dipelajari tanpa memperdulikan dunia sekelilingnya. Mereka ini mungkin bijak dalam matapelajaran mereka tetapi fikiran mereka belum tentu bernas.

Oleh itu kita harus membaca, mendengar dan melihat apa berita yang disebarkan. Lalu terus menganalisa dan memikirkannya sebelum kita menerima.